Silat Cekak Pusaka Hanafi dilengkapi dengan pakej pembelajaran supaya penuntutnya mampu bertanggungjawab mempertahankan diri sendiri. Dalam mempraktikkan silat, objektif utama ialah berjaya mempertahankan diri, sama ada ketika diserang ataupun ketika terpaksa untuk menyerang.
Namun begitu, Silat Cekak Pusaka Hanafi lebih menitikberatkan untuk memulakan pelajaran dengan menunggu serangan. Taktik atau teknik menyerang hanya diajar pada penghujung silibus pembelajaran sahaja. Tujuan utama sistem pelajaran sebegini adalah kerana Silat Cekak Pusaka Hanafi ingin melahirkan penuntut yang bersifat berani dan bukannya garang.