Pantun

Dicipta oleh YM Almarhum Ustaz Haji Hanafi bin Haji Ahmad untuk memberi gambaran kepada penuntut-penuntut Silat Cekak bahawa Silat Cekak lebih menekankan kepada pendidikan rohani dan jasmani yang tidak terkeluar dari landasan Islam.

Lahirnya Cekak kerana kesedaran,
Bukan bermusuh sebagai tujuan,
Untuk mendaulatkan seni kebangsaan,
Mensesuaikan dengan makna kemerdekaan.

Silat Cekak benar-benar asli,
Tidak bercampur hak luar negeri,
Hendaklah belajar bersungguh hati,
Untuk menjaga diri sendiri.

Silat Cekak tersangatlah mudah,
Bagi mereka yang mendapat hidayah,
Sungguhpun begitu hendaklah tabah,
Insya-Allah mendapat faedah.

Silat Cekak pada lahirnya,
Pengertian gerak pada batinnya,
Hendaklah mahir seluruh anggota,
Hendaklah jujur pada jiwanya.

Taat ke guru membawa berkat,
Sedikit belajar banyak yang dapat,
Jika menderhaka menjadi mudarat,
Semua ilmu tiada yang lekat.

Sebenar guru ada hakikat,
Dikuat pula amalan syariat,
Ditambah pula ilmu makrifat,
Berpakaian pula dengan isyarat.

Dua ibu bapa tak boleh derhaka,
Besar jasanya kepada kita,
Kalau menderhaka bahaya menimpa,
Di akhirat kita masuk neraka.

Wajiblah menjaga diri sendiri,
Menerima amanah Tuhan Rabbi,
Supaya menjadi mukmin sejati,
Demi menegak Islam yang suci.

Nukilah oleh YM Syeikh Dr. Hj Md Radzi Bin Haji Hanafi 

Lahirnya Cekak Bukan Berbangga,
Untuk Menghidup Kebudayaan Bangsa,
Demi Menegak Islam Yang Mulia,
Supaya Hidup Tidak Sia-Sia.

Silat Cekak Pusaka Pahlawan,
Bukannya Pelajaran Cara Tiruan,
Tidak Tunduk Kepada Lawan,
Untuk Membentuk Hakikat Insan.

Membentuk Adab Kepada Penuntut,
Disebab Jalannya Menjadi Pengikut,
Bukan Berbangga Kerana Disebut,
Kalau Dicaci Tidak Berserabut.

Mereka Fitnah Berbagai Bagai,
Tak Boleh Harap Betina Macam Keldai,
Perangai Mereka Macam Budak Nakal,
Itu Alamat Tak Sempurna Akal.

Banyak Penuntut Salah Sangka,
Bila Pandai Menunjuk Bangga,
Sifat itu Memang Dicela,
Akhirnya Pula Masuk Neraka.

Puisi

Silat dan Pahlawan

Petikan daripada Pentomin “Silat dan Pahlawan”
Hasil tinta: A Aziz Darmawi
Cerita Asal oleh Jamaluddin Hj. Hanafi.

Seni Silat,
Ia bukan lambang kudrat,
Tetapi,
Dialah perisai satu adat,
Zuriat dan daulat.

Seni Silat seni pusaka,
Ia tidak cuma perisai jiwa,
Malah,
Dialah obor pembakar semangat waja,
Dialah benteng wujud dan wibawa,

Sebuah bangsa dan nusa,
Dan mungkin,
Akan menjadi benteng-benteng sisa,
Untuk melaungkan,
“Tak Melayu hilang di dunia”

Kerana silat dan perwira,
Semangatnya sekeras besi waja,
Seteguh kota Melaka,
Bak kata sumpah mereka,

“Kalau roboh kota Melaka,
Papan di Jawa kami dirikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa kami serahkan..”