Sejarah

Pada dasarnya, tidak dapat dipastikan dari mana asalnya silat ini dan siapakah penciptanya. Perbincangan asal usul silat ini sering berkisar sama ada ia hasil daripada pengumpulan seorang hamba Allah yang mempelajari pelbagai jenis ilmu silat ataupun himpunan atau permuafakatan ilmu oleh sekumpulan guru-guru silat.

Cuma yang boleh dipastikan adalah silat ini telah dicipta selepas kedatangan Islam ke nusantara. Ini berdasarkan kaedah dan falsafah persilatannya yang berkait rapat dengan pergerakan solat. 

Selain itu, kaedah yang diamalkan silat ini dalam pelantikan satu guru ke satu guru yang lain juga mirip kepada pelantikan secara bersanad yang lazim dipraktikkan oleh guru-guru agama. 

Menurut sejarah lisan dan pemerhatian umum, Silat Cekak ini berasal dari Kedah Darul Aman bedasarkan penggunaan perkataan CEKAK oleh masyarakat Melayu Kedah serta penggunaan Parang Lading sebagai senjata rasminya. Parang Lading amat terkenal penggunaannya di negeri Kedah. 

Pesan Tok Rashid,
“Jika ada anak cucu ku dari Kedah hendak belajar, hendaklah kau pulangkan kembali.

Melalui cerita yang diperturunkan secara kaedah lisan, guru Silat Cekak terawal yang diketahui ialah Panglima Ismail, seorang  Panglima Kanan Kerajaan negeri Kedah di zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin II (1854-1879). 

Semasa dalam perkhidmatan, Panglima Ismail berjaya menewaskan seorang panglima Batak yang diketuai oleh Tuah (bukan Hang Tuah). Menurut riwayat, Tuah ini mempunyai ilmu kebal dan ramai hulubalang-hulubalang Kedah pada waktu itu telah berjaya ditewaskannya. Namun, ia kecundang di tangan Panglima Ismail akhirnya.

Di penghujung hayatnya, Panglima Ismail kemudiannya menurunkan mandat perguruan silat ini kepada Panglima Tok Rashid. Akibat serangan taun di Kedah ketika itu, Panglima Tok Rashid kemudiannya terpaksa berpindah ke Krian, Perak.

Di Krian, Panglima Tok Rashid telah mengamanahkan Silat Cekak ini kepada Yahya Said (Pak Ya) yang berasal dari Batu Kurau, Taiping, Perak. Panglima Tok Rashid telah berpesan kepada Pak Ya supaya memulangkan kembali Silat Cekak ini kepada anak kelahiran   Kedah, sekiranya ada yang hendak belajar.

Pada malam 5 Ramadan 1385H bersamaan dengan 28 Disember 1965, atas daya usaha Ustaz Hanafi Haji Ahmad, Silat Cekak telah dizahirkan kembali di rumah Syafie Darus, Batu 4 3/4, Jalan Gunung, Alor Setar, Kedah.

Pada awalnya Ustaz Hanafi mempelajari ilmu silat ini daripada Pak Ya, di mana Pak Ya pada ketika itu cuba untuk menyembunyikan nama sebenar silat ini. Ketika majlis penamat kelas dijalankan, Pak Ya telah bertanya kepada Ustaz Hanafi sama ada beliau (Ustaz Hanafi) terdiri daripada keturunan Panglima Tok Rashid. Ketika inilah, Pak Ya menyatakan nama sebenar silat ini, iaitu Silat Cekak.

Selepas penyerahan mandat berlaku, silat ini digerakkan di bawah satu sesi persilatan Perkumpulan Seni Sari Budaya Seri Kedah (PSSBSK) dengan Ustaz Hanafi sendiri menjadi ketua sesinya dan seterusnya berkembang ke Kuala Lumpur.

Ustaz Hanafi mendapati kualiti silat ini begitu unggul dan bercita-cita memelihara silat ini. Beliau tidak rela Silat Cekak pupus dan terkubur di alam Melayu ini.

Kini, Silat Cekak yang asli telah dijenamakan sebagai Silat Cekak Pusaka Hanafi; dan dapat dipelajari serta giat dikembangkan di serata Malaysia dan di luar negara, hasil teraju Pewaris Mutlak Silat Cekak yang sah dan bermandat.