Sejarah
Pada dasarnya, tidak dapat dipastikan dari mana asalnya silat ini dan siapakah penciptanya. Perbincangan asal usul silat ini sering berkisar sama ada ia hasil daripada pengumpulan seorang hamba Allah yang mempelajari pelbagai jenis ilmu silat ataupun himpunan atau permuafakatan ilmu oleh sekumpulan guru-guru silat.
Cuma yang boleh dipastikan adalah silat ini telah dicipta selepas kedatangan Islam ke nusantara. Ini berdasarkan kaedah dan falsafah persilatannya yang berkait rapat dengan pergerakan solat.
Selain itu, kaedah yang diamalkan silat ini dalam pelantikan satu guru ke satu guru yang lain juga mirip kepada pelantikan secara bersanad yang lazim dipraktikkan oleh guru-guru agama.
Menurut sejarah lisan dan pemerhatian umum, Silat Cekak ini berasal dari Kedah Darul Aman bedasarkan penggunaan perkataan “CEKAK” oleh masyarakat Melayu Kedah serta penggunaan Parang Lading sebagai senjata rasminya. Parang Lading amat terkenal penggunaannya di negeri Kedah.