PERSILATAN
Sistem, disiplin dan falsafah di sebalik setiap gerakan.
Dari makna namanya sehinggalah kepada silibus, disiplin dan struktur keahliannya — Silat Cekak Pusaka Hanafi diajar secara ilmiah, berpakej dan sistematik, membentuk penuntut yang berani, bukan garang.
01 — SEJARAH
Dari istana Kedah, ke rumah Syafie Darus
Susur galur lisan yang membawa Silat Cekak dari zaman Panglima istana, hinggalah dizahirkan semula pada malam 5 Ramadan 1385H.
Pada dasarnya, tidak dapat dipastikan dari mana asalnya silat ini dan siapakah penciptanya. Perbincangan asal usul silat ini sering berkisar sama ada ia hasil daripada pengumpulan seorang hamba Allah yang mempelajari pelbagai jenis ilmu silat, ataupun himpunan permuafakatan ilmu oleh sekumpulan guru-guru silat.
Cuma yang boleh dipastikan, silat ini telah dicipta selepas kedatangan Islam ke Nusantara — berdasarkan kaedah dan falsafah persilatannya yang berkait rapat dengan pergerakan solat. Kaedah pelantikan satu guru ke satu guru yang lain juga mirip kepada pelantikan secara bersanad yang lazim diamalkan oleh guru-guru agama.
Menurut sejarah lisan, Silat Cekak berasal dari Kedah Darul Aman, berdasarkan penggunaan perkataan “Cekak” oleh masyarakat Melayu Kedah serta penggunaan Parang Lading sebagai senjata rasminya.

Rumah Syafie Darus, Batu 4¾, Jalan Gunung, Alor Setar.

Gambar arkib latihan Silat Cekak generasi awal.
Guru Silat Cekak terawal yang diketahui ialah Panglima Ismail, seorang Panglima Kanan Kerajaan Negeri Kedah semasa pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin II (1854–1879). Beliau turut menewaskan seorang panglima Batak bernama Tuah yang dipercayai memiliki ilmu kebal.
"Jika ada anak cucu ku dari Kedah hendak belajar, hendaklah kau pulangkan kembali."
— Pesan Panglima Tok Rashid
Di penghujung hayatnya, Panglima Ismail menurunkan mandat perguruan kepada Panglima Tok Rashid. Akibat serangan taun di Kedah, Panglima Tok Rashid berpindah ke Krian, Perak, dan mengamanahkan Silat Cekak ini kepada Yahya Said (Pak Ya) dari Batu Kurau, Taiping — berpesan supaya dipulangkan kembali kepada anak kelahiran Kedah jika ada yang hendak belajar.
Pada awalnya, Ustaz Hanafi mempelajari ilmu ini daripada Pak Ya, yang cuba menyembunyikan nama sebenar silat tersebut. Ketika majlis penamat kelas, Pak Ya bertanya sama ada Ustaz Hanafi berketurunan Panglima Tok Rashid — ketika itulah nama sebenarnya, Silat Cekak, dinyatakan.
Selepas penyerahan mandat, silat ini digerakkan di bawah Perkumpulan Seni Sari Budaya Seri Kedah (PSSBSK) dengan Ustaz Hanafi sebagai ketua sesi, seterusnya berkembang ke Kuala Lumpur dan kini dijenamakan sebagai Silat Cekak Pusaka Hanafi — dipelihara dan dikembangkan di serata Malaysia dan luar negara di bawah teraju Pewaris Mutlak yang sah dan bermandat.

Silat Cekak Pusaka Hanafi hari ini — diajar secara ilmiah di serata Malaysia dan luar negara.
02 — MAKNA CEKAK
Lima lapisan makna, satu falsafah
Perkataan “Cekak” membawa makna berbeza mengikut dialek dan bahasa — namun setiap satu menyumbang kepada falsafah teras silat ini.
PERIBAHASA MELAYU KEDAH
Makan Cekak
Membawa pengertian kesanggupan, keupayaan dan rasa tanggungjawab dalam menjalankan tugas — seni silat yang bertanggungjawab menjaga keselamatan diri.
SEGENGGAM
Secekak
Silat ini mengajar yang segenggam, bukan segantang — intisari persilatan sahaja, bukan cabang silat yang banyak.
BAHASA MINANGKABAU
Cekak (Gaduh)
Bukan bertujuan untuk bergaduh, tetapi boleh digunakan untuk menjaga keselamatan diri di dalam pergaduhan.
BAHASA JAWA
Bahasa Jawa
Mudah dipelajari melalui sistem pelajaran yang teratur dan ringkas — berdiri lurus menunggu serangan, bergerak dalam satu gerak.
PEGANGAN
Cekak (Pendirian)
Silat ini mempunyai pendirian dan tujuan tersendiri yang jelas — bukan untuk bermegah atau menceroboh, tetapi menjaga diri, bangsa dan agama.
03 — SISTEM MATA PELAJARAN
Silibus yang tersusun dan sistematik
Objektif utama: mempertahankan diri — sama ada ketika diserang, atau terpaksa menyerang.
Silat Cekak Pusaka Hanafi dilengkapi dengan pakej pembelajaran supaya penuntutnya mampu bertanggungjawab mempertahankan diri sendiri.
Silat Cekak Pusaka Hanafi lebih menitikberatkan untuk memulakan pelajaran dengan menunggu serangan. Taktik menyerang hanya diajar pada penghujung silibus — kerana matlamatnya melahirkan penuntut yang berani, bukan garang.
Pendirian Berdiri Lurus
Kaedah yang dipraktikkan semasa menghadapi serangan — berdiri lurus, tanpa perlu mengelak ke kiri atau ke kanan.
Membuat buah menggunakan kaedah asas — pergerakan kaki dan tangan untuk mematahkan serangan, belum ke peringkat menjatuhkan lawan.
Sambungan kepada peringkat asas — penuntut diajar teknik pemakan dan kuncian yang lengkap dan sempurna.
Dimulakan selepas menguasai peringkat jatuh; diijazahkan semula oleh Guru Utama. Dilaksanakan secara tertutup, khusus untuk ahli.
Majlis Ijazah Tamat bersama Guru Utama — sesi bertanya untuk meyakinkan penuntut terhadap kebaikan kaedah yang dipelajari.
BUAH SERANG
Diajar selepas tamat silibus
Penuntut didedahkan dengan konsep serangan: apabila Cekak menyerang, jika musuh mengelak pasti kena, jika menangkis pasti termakan balik. Pada peringkat ini juga penuntut dibenarkan memakai seragam penuh Silat Cekak Pusaka Hanafi.
BUAH UMUM
Diperkenalkan oleh Almarhum Ustaz Hanafi
Memudahkan penuntut memahami dan mengaplikasikan kaedah persilatan yang dipelajari dalam menghadapi pelbagai serangan musuh semasa bertempur.
Senarai Nama Buah
21 buah dalam Silat Cekak
04 — PANTANG LARANG
Disiplin yang membentuk sahsiah
Lima larangan teras yang menjadi asas etika setiap penuntut Silat Cekak Pusaka Hanafi.

Tidak boleh menderhaka kepada GURU.

Tidak boleh menderhaka kepada IBU.

Tidak boleh menderhaka kepada BAPA.

Tidak boleh bergaduh sesama AHLI.

Tidak boleh mencaci SILAT MELAYU ASLI yang lain.

Majlis Ijazah — momen penerapan disiplin dan penghormatan kepada guru.
05 — STRUKTUR KEAHLIAN
Asuhan jasmani dan rohani
Diajar secara ilmiah, berpakej dan sistematik — membentuk pelatih yang mampu mempertahankan diri secara praktikal dan efisien.
- Peringkat pembelajaran melalui empat tingkatan: Asas, Jatuh, Potong dan Umum.
- Kaedah menunggu serangan dengan berdiri lurus, tidak mengelak atau mengundur — bahkan mara ke hadapan, mengasuh jiwa agar sentiasa optimis.
- Menitikberatkan teknik mempertahankan diri secara menanti serangan supaya terlatih dengan keberanian
- Pergerakan berasaskan gerak-geri semula jadi manusia, berpandukan fikiran yang sihat serta jiwa yang tenang
- Pelatih yang tamat semua peringkat mampu mempertahankan diri secara praktikal dan efisien
— Surah Al-Anfal, Ayat 60
06 — SENJATA RASMI
Parang Lading
Senjata asli Melayu yang khas digunakan untuk mempertahankan diri, khususnya oleh Panglima Kanan Kerajaan Negeri Kedah semasa zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin (1854–1879).
Pembuatannya adalah unik kerana ia dibuat berdasarkan ukuran beberapa bahagian pada anggota badan pemilik lading tersebut — menjadikan setiap Parang Lading eksklusif kepada pemiliknya.